Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Low Kian Chuan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) bagi tempoh sepenggal di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 20 MAC 2023.
JOHOR BAHRU – Walaupun produk luar negara yang murah memanfaatkan pengguna dan menurunkan kos perbelanjaan, tetapi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) pula berdepan risiko gulung tikar jika tidak dapat bersaing secara jangka panjang.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia,  Datuk Low Kian Chuan berkata, pemeteraian perjanjian perdagangan bebas telah memperluaskan pasaran, tetapi juga membawa persaingan buat peniaga tempatan.

Beliau berkata,  perjanjian tersebut adalah seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Katanya, isu panas sekarang adalah membabitkan pelabur asing yang membawa kesan kepada ekonomi negara apabila barang murah dibawa masuk ke Malaysia secara berlambak.

Beliau berkata, jurang dagang antara Malaysia dan China semakin besar sejak 2012, menunjukkan kebergantungan negara terhadap bekalan dari China.

Kian Chuan bagaimanapun menjelaskan, beliau tidak menyalahkan mana-mana negara, tetapi menuju syarikat asing yang melakukan lambakan.

“Kami mengalu-alukan penyertaan China dalam bidang pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan yang membawa sumber pendapatan kepada negara dan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Beliau dilapor berkata demikian semasa berucap dalam satu majlis anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor.

Kian Chuan yang juga merupakan  Senator berkata, Malaysia berharap membawa masuk pelabur yang boleh memberi tambah nilai kepada negara.

Katanya, pelabur dan peniaga dari China perlu berintegrasi dengan rantaian bekalan tempatan dan saling menyokong antara satu sama lain bagi mencapai situasi menang-menang.

Ujarnya, selari dengan langkah kerajaan mengenakan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah yang diimport, peniaga tempatan boleh melaporkan aktiviti lambakan.

“Jika peniaga tempatan mendapati peniaga asing melakukan lambakan, mereka boleh mengumpulkan maklumat dan menyelidik sama ada apa yang berlaku membabitkan sektor terbuka atau sebaliknya.

“Seterusnya, mereka boleh memanjangkan perkara berkenaan kepada kerajaan dan meminta tindakan sewajarnya diambil,” katanya.