Suspek, Hasbulah Ismail, 57, berjalan keluar selepas didakwa atas kes bunuh Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM di Mahkamah Kajang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 MAC 2021.

SEPANG – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistrest di sini atas pertuduhan mengedar dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Jumaat lalu.

Tertuduh, Abang Danny Abang Azlan Shah yang berasal dari Sibu, Sarawak hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah disyaki jenis menthamphetamine dengan anggaran seberat 15.75 kilogram (kg) di Pejabat Jenayah Narkotik, Aras 2 di KLIA Terminal 2 dalam daerah Sepang sekitar jam 9.24 malam, 26 Julai 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(1)(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh disebat tidak kurang 15 kali sebatan jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguambela, Darren Ee.

Peguambela, Darren Ee.

Menurut Darren yang ditemui, anak guamnya yang bekerja sebagai tukang cuci kereta telah diperdaya dengan tawaran pekerjaan sebagai penghantar barang di Kuala Lumpur menerusi media sosial.

“Dia terima tawaran untuk hantar barang ini dari Kuala Lumpur dan tidak pernah membuka bungkusan tersebut. Apabila ingin melakukan pendaftaran di KLIA 2 untuk ke Sarawak, dia tersangkut (ditahan) dan tidak tahu apa kandungan dalam bungkusan itu dan pemeriksaan mendapati ia adalah dadah.

“Anak guam saya yang usia muda ini dia baru sahaja ingin memasuki alam pekerjaan dan telah melakukan pencarian kerja menerusia atas talian. Saya percaya dia telah dijadikan kambing hitam untuk penghantaran dadah ini,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 1 November depan termasuk serahan laporan kimia.

Pada Jumaat lalu, polis telah menahan seorang lelaki tempatan di KLIA Terminal 2 disyaki cuba menyeludup dadah bernilai RM504,000 ke Sarawak.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Azman Shari’at berkata, remaja itu ditahan selepas imbasan kotak makanan miliknya menunjukkan imej yang mencurigakan.

Pihaknya, berjaya menemukan 15 bungkusan plastik warna hijau yang mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 15,750 gram. – MalaysiaGazette