Ahmad Zahid Hamidi (depan tengah) meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat Sharifah Azizah yang dirawat di HEBHK, Kluang hari  ini.

KLUANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat Ahli- Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO melibatkan masa kira-kira 20 minit melawat Sharifah Azizah yang kini dikatakan berada dalam keadaan kritikal.

“Situasi Datuk Sharifah Azizah, ADUN Mahkota agak kritikal dan kita doakan Allah memudahkan urusan sebaik-baiknya dan diberikan kesembuhan.

“Jika sebaliknya berlaku kita sama-sama berdoa dan segala urusan dipermudahkan. Ikut kata doktor pakar, ubat tidur telah dihentikan sejak pagi tadi.

“Dia dapat bantuan pernafasan yang bukan ‘last box’, kita doakan yang terbaik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Sharifah Azizah.

Sharifah Azizah, 63, sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HEBHK akibat pendarahan dalaman.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang ialah bekas Ketua Wanita UMNO Johor.

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah ialah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu.- MalaysiaGazette