Hampir 3,000 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Dr Ismail Haniyeh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan hari ini

KUANTAN – Solidariti warga Pahang tetap utuh bersama perjuangan bekas pemimpin Hamas, Allahyarham Dr Ismail Haniyeh dan rakyat  Palestin biar pun jarak jauh yang memisahkan mereka.

Ini dibuktikan apabila hampir 3,000 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib buat  jenazah Dr Haniyeh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini hari ini.

Solat jenazah dilakukan seusai solat Jumaat dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri Pahang, Mohd Rizzal  Mohd Ali Nafiah bermula pukul 2 petang tadi.

Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah

”Kita di pihak masjid menjunjung titah Tuanku Al-Sultan Abdullah (Sultan Pahang) bagi menunaikan solat jenazah ghaib buat As-syahid Ismail Haniyeh sebagaimana kita dimaklumkan yang terbunuh dalam serangan.

”Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat dan mengampunkan dosanya,  kita tidak akan patah semangat untuk perjuangan saudara kita di Palestin,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Rizzal, rakyat Pahang sentiasa mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin agar dibekalkan kesabaran dan ketabahan kerana masih ditindas oleh kekejaman rejim Zionis Israel.

”Tuanku ada bertitah ketika sambutan Maal Hijrah dengan menyarankan rakyat di Pahang bahawa solidariti rakyat Malaysia tidak akan sekali luntur kerana Palestin adalah bumi umat Islam.

”Maka kita di peringkat Pahang ini mampu mendoakan mereka, itu yang mampu kita buat. Kalau sekecil itu tidak boleh buat maknanya kita tidak ada sekelumit belas kasihan kepada saudara-mara kita di Palestin,” tambahnya.

Sebelum itu, pada Mei lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan penghantaran barang bantuan kemanusiaan sebanyak 30 tan termasuk pek makanan dengan teknologi retort ke negara bergolak itu.

Antara barangan lain dihantar seperti tilam, selimut, pek makanan, dan ubat-ubatan hasil daripada kutipan dan sumbangan pelbagai pihak berjumlah RM1.602 juta.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan semua masjid di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pahang akan menunaikan solat sunat jenazah ghaib buat bekas Perdana Menteri Palestin itu selepas solat Jumaat di bawah pelarasan pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Mufti Pahang, Datuk Dr. Prof Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, kesemua 696 masjid di negeri itu telah dimaklumkan mengenainya menerusi surat setelah mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia susulan kematian Haniyeh dan pengawal peribadinya dalam serangan di Iran selepas Israel menyerang kediamannya di Teheran pada Rabu lalu.

Ketua sayap politik Hamas itu dilaporkan berada di Teheran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa lalu.

Jenazah pemimpin Islam itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lusail, utara Ibu negara Qatar selepas solat jenazah di Masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast