Tiga individu yang direman SPRM hari ini bagi siasatan rasuah dan menyembunyikan dokumen syarikat industri minyak sawit.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan dokumen penting melibatkan syarikat industri minyak sawit.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 5 Ogos 2024 terhadap suspek wanita berusia 40-an dan lima hari sehingga 7 Ogos 2024 terhadap dua suspek lelaki berusia 40 hingga 50-an.

Reman itu dikeluarkan oleh Majistret Norainina Shariful Anuar setelah permohonan di buat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan sekitar jam 10 malam semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek wanita yang bertugas sebagai pengurus akaun ditahan kerana disyaki terlibat dengan transaksi penerimaan rasuah.

“Manakala dua suspek lelaki yang merupakan setiausaha syarikat ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan beberapa dokumen penting berkaitan Call Option Agreement (COA).

“Dokumen ini dipercayai disembunyikan oleh setiausaha syarikat untuk melambatkan pihak kedua daripada melaksanakan perjanjian COA yang telah ditandatangani pada Mac 2021 dan melengahkan penghakiman kes saman sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast