SEPANG – Ibarat ada sinar di hujung terowong, itu perasaan yang dialami oleh 42 pesakit kanser payudara tahap tiga dan empat yang berpeluang menjadi tetamu Allah untuk menunaikan umrah buat pertama kali.
Menurut Rohani Ibrahim, 56, beliau yang merupakan pesakit kanser payudara tahap tiga sejak 2007 melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki ke tanah suci walaupun tahap kesihatannya agak berisiko.
Ibu kepada empat cahaya mata itu turut berkongsi, pernah diserang angin ahmar dan barah otak pada tahun 2022 hingga perlu melakukan pembedahan, sekali gus membuatkannya hampir patah semangat.
“Saya mendapat kanser sejak 2007 hampir 17 tahun dan kemudian diserang pula kanser otak. Sebelum pembedahan, saya pernah lumpuh disebabkan angin ahmar buatkan rasa tiada semangat lagi untuk hidup.
“Apabila saya menyertai Kelab Kanser Payudara Kelantan (KEDARA) buatkan saya kembali bersemangat dengan melakukan rawatan kimo di hospital serta dapat sokongan daripada kawan dan anak-anak.
“Anak-anak termasuk menantu saya memang terbaik sanggup bergilir-gilir pulang demi menjaga saya. Saya rasa ia satu penghargaan dan ini ibarat mimpi apabila saya tubuh badan saya sihat dan berupaya pergi menunaikan umrah walaupun saya pesakit kanser,” luahnya dalam nada sebak.
Terdahulu, seramai 42 pesakit kanser di bawah Kelab Kanser Payudara Kelantan (KEDARA) menyertai program Lambaian Umrah Syifa yang julung kali diadakan dengan kerjasama Qashwa Travel.
Sementara itu, pengerusi KEDARA, Datuk Dr. Imi Sairi Ab Hadi berkata, ia dilaksanakan bagi memberi keyakinan kepada pesakit kanser bahawa mereka mampu menunaikan umrah seperti individu normal.
“Apabila saya mengutarakan, bahawa ingin menunaikan umrah bersama mereka (pesakit kanser), mereka seperti tidak percaya kerana jarang ada doktor dan jururawat yang berani tampil ke depan.
“Kebanyakkan pesakit ini tiada keyakinan untuk mengerjakan umrah kerana mereka berada di tahap 3 dan 4, sekaligus merasakan tiada peluang lagi tersebut kerana ia sangat tipis ditambah kanser yang semakin teruk.
“Saya melakukan tapisan jemaah umrah yang pertama, mereka tidak terlantar dan mampu berjalan, walaupun ada tidak mampu berjalan dan perlu kerusi roda kita ambil mereka yang ada fizikal cerdas.
“Paling penting adalah semua pesakit ini perlu mendapat persetujuan ahli keluarga sebab sebarang kemungkinan boleh berlaku di sana tapi apa pun kita tawakal dan sudah siap siaga fizikal serta mental.
“Jadi saya bersama tiga jururawat serta Qashwa Travel telah mengambil langkah berani untuk membawa mereka dengan melakukan pelbagai persediaan serta ubat-ubatan untuk pesakit kanser ini tunaikan umrah,” jelasnya.
Tambah Dr. Imi Sairi, diharap program ini dapat membuka mata kepada pesakit kanser agar mereka terus kuat untuk kembali pulih dan mampu berpeluang menunaikan umrah seperti individu yang lain.
Pada masa sama, beliau turut mengajak badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk turut sama serta program seumpana ini bagi menyantuni pesaki-pesakit kanser di negara ini. – MalaysiaGazette