PUTRAJAYA – Draf Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang telah siap, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, draf itu akan diserahkan kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk maklum balas.

Menurut beliau, sekiranya draf itu dipersetujui, satu jawatankuasa mesyuarat bersama antara kedua-dua pihak akan ditubuhkan.

“Draf agreement (MoU), saya akan bagi kepada Datuk Taki (Takiyuddin) untuk mereka maklum balas.

“Kalau mereka setuju dengan perjanjian, nanti kita akan set (tubuhkan) jawatankuasa mesyuarat bersama antara kerajaan dan pembangkang

Agreement sudah siap dan sepatutnya telah diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Car Free Day Putrajaya bersempena dengan Larian MAPPA 2024 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Beliau berkata, ini memandangkan syarat ditetapkan kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan dan amalan demokrasi.

Justeru, beliau mahu rundingan antara wakil kerajaan dan pembangkang disegerakan bagi membolehkan satu keputusan dimuktamadkan antara kedua-dua pihak, disamping mengelak sebarang rundingan secara berasingan.

Fadillah diberikan mandat penuh bagi mewakili kerajaan dalam rundingan MoU berkenaan.

Pada Mei lalu, beliau berkata, draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan, antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Sebaik saja draf terbabit siap, beliau berkata ia akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk diluluskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast