Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Penganjuran Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil esok tidak jauh bezanya dengan Himpunan Malaysia bersama Palestin pada 24 Oktober 2023.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan larangan sama tetap dikenakan ke atas peserta yang hadir agar tidak melanggar undang-undang.

“Saya akan semak yang (garis panduan) terkini yang telah diputuskan oleh pihak jawatan kuasa yang menguruskan kerana ia melibatkan NGO-NGO.

“Tidak terlalu berbeza berbanding tahun lalu, tapi kita akan semak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi mengesa semua pihak yang ingin menyertai himpunan kedua anjuran kerajaan itu untuk mengenakan pakaian serba putih.

“Kita meminta supaya yang hadir sebaik mungkin hadir berpakaian serba putih,” katanya.

Ditanya tentang jumlah kehadiran, Fahmi mensasarkan sehingga 20,000 peserta yang akan menghadiri perhimpunan untuk menyatakan solidariti kepada rakyat dan negara Palestin.

“Kita harap sekitar 10-20 ribu orang yang akan hadir, tapi kita bersedia sekiranya lebih ramai dari jumlah itu.

“Apa pun ini tanda solidariti kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan untuk pembebasan Palestin,” katanya.

Katanya lagi, beliau turut menjemput semua pihak untuk menyertai himpunan kemanusiaan itu sebagai tanda menyokong perjuangan pembebasan Palestin daripada penjajahan Isreal.

“Saya menggesa dan menjemput semua warga yang tinggal sama ada jauh mahupun dekat untuk sama-sama ke Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil esok bermula jam 6.30 petang boleh hadir.

“Kita akan sejumlah acara, beberapa ucapan dan kita berkumpul dan berhimpun bersama-sama sebagai tanda solidariti buat rakyat dan negara Palestin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette