Rakyat Yaman mengibarkan bendera dan mengangkat plakad gambar komander kanan Hezbollah, Fuad Shukr, dan Ismail Haniyeh, semasa perhimpunan di Sanaa pada 2 Ogos 2024. Foto AFP

TEHRAN – Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh dengan menggunakan peluru berpandu jarak dekat yang dibedil dari luar penginapannya di sini.

“Operasi pengganas ini dilakukan dengan melepaskan peluru jarak dekat dengan kepala peledak kira-kira 7 kilogram menyebabkan letupan kuat dari luar kawasan penginapan,” kata Pengawal Revousi Iran dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Israel yang “disokong oleh Amerika Syarikat” terlibat dalam serangan itu.

Haniyeh dibunuh awal Rabu di ibu negara Iran selepas menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu, Masoud Pezeshkian.

Iran dan Hamas telah berikrar untuk membalas dendam.

Pengawal Revolsi Iran mengulangi amaran bahawa Israel akan menerima “hukuman yang berat pada masa, tempat dan cara yang sesuai”.

Israel, yang enggan mengulas mengenai pembunuhan Haniyeh, sebelum ini telah menyerang kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut.

Serangan itu membunuh seorang komander kanan kumpulan Lubnan yang dipersalahkan kerana melakukan serangan roket hingga mengorbankan golongan muda di Golan Heights.

Pembunuhan itu adalah yang terbaru daripada beberapa insiden besar yang telah mencetuskan ketegangan serantau semasa perang Gaza, yang telah menarik kumpulan yang disokong Iran di Syria, Lubnan, Iraq dan Yaman.

Di Iran, suara-suara yang menuntut untuk membalas dendam semakin semakin memuncak sejak pembunuhan Haniyeh.

Pada hari Sabtu, akhbar ultrakonservatif Kayhan menjangkakan operasi balas dendam akan “lebih pelbagai, lebih tersebar dan mustahil untuk dipintas.”

“Kali ini, kawasan seperti Tel Aviv dan Haifa dan pusat strategik terutamanya kediaman beberapa pegawai yang terlibat dalam jenayah baru-baru ini antara sasaran,” kata akhbar itu dalam satu kenyataan. – Agensi