KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang memandu kereta di Taman Putra Impiana, Puchong dan bapanya akan didakwa di mahkamah.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kertas siasatan telah diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
“Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987.
“Bapanya akan dituduh mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki yang dinaiki dua kanak-kanak.
Menurut Wan Kamarul, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, pertuduhan juga akan dibuat bersama dengan kertas siasatan jenayah selepas pegawai penyiasat melaksanakan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette