Assistan Komisioner Raub Selamat

JOHOR BAHRU – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang pengasuh ditahan di Bandar Dato’ Onn, di sini, minggu lalu yang disyaki mendera seorang bayi perempuan dua bulan sehingga patah kaki.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, selepas kertas siasatan lengkap, pegawai penyiasat kes tersebut akan menyerahkannya kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

“Suspek yang direman tersebut sudah pun dibebaskan sementara dengan jaminan polis pada Rabu lalu selepas tempoh reman selama tiga hari tamat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Isnin lalu, perintah reman terhadap wanita berusia 36 tahun itu dilanjutkan bermula Isnin hingga Rabu bag membantu siasatan kes berkenaan selepas direman enam hari sebelum itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan pengasuh tersebut selepas ibu bapa bayi itu membuat laporan polis, Ahad lalu.

Ibu bayi berkenaan meluahkan kekecewaannya dalam media sosial selepas dia dan suami menyedari ada yang tidak kena pada bayi itu selepas mengambilnya daripada rumah pengasuh, sehari sebelum laporan polis dibuat.

Bayi berkenaan dikatakan sentiasa menangis terutama ketika lampin pakai buangnya ditukar malah enggan meminum susu.

Pasangan itu telah membawa anaknya ke hospital dan dimaklumkan pihak hospital bahawa bahagian peha bayi itu patah hasil imbasan sinar X yang dilakukan.

Wanita itu kemudian menelefon pengasuh bayinya bagi bertanya mengenai kecederaan berkenaan, namun wanita tersebut menafikan perkara itu sebelum pasangan terbabit bertindak membuat laporan polis. – MalaysiaGazette