KUALA LUMPUR – Seramai tiga tokoh terkemuka tanah air dilantik sebagai Panel Penasihat (Advisory Panel) M Talent Traning & Consultancy Services Sdn. Bhd. (MTalent) berkuatkuasa 1 Ogos lalu sehingga 31 Disember 2027.
MTalent adalah satu badan yang menyediakan produk dan perkhidmatan untuk membantu pengurusan organisasi yang mapan melalui program latihan dan perkhidmatan perundingan ke arah memperkasa pengurusan dan pembangunan bakat.
Tiga tokoh berkenaan yang diyakini mampu melonjakkan program pembangunan bakat yang dibangunkan MTalent ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Abd Aziz Tajuddin; Prof. Datuk Dr. Sr. Omar Osman dan Datuk Hamdan Bahari.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTalent, Datuk Dr. Musa Ali, ketiga-tiga tokoh berkenaan sebelum ini banyak menyumbang kepada program transformasi pembangunan modal insan di peringkat organisasi, kebangsaan dan antarabangsa.
“Pelantikan ketiga-tiga tokoh ini akan membolehkan MTalent memanfaatkan gabungan pengalaman luas tokoh-tokoh tersebut dalam pengurusan organisasi peringkat negeri dan kebangsaan.
“Ia juga akan dapat meningkatkan lagi rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri dalam dan luar negara.
“Ini selaras dengan strategi MTalent yang mendokong pendekatan rentas bidang, rentas sektor dan rentas negara,” katanya menerusi kenyataan.
Abd. Aziz sebelum ini ialah Naib Canselor dan Presiden Albukhary International University sejak Januari 2020 sehingga bersara 31 Julai lalu.
Beliau sebelum itu pernah berkhidmat lebih 30 tahun di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah menyandang pelbagai jawatan pentadbiran penting antaranya sebagai Pendaftar, Pengarah Kampus, Dekan dan terlibat secara aktif dalam program-program pembangunan bakat di peringkat universiti dan kebangsaan.
Sementara itu, Omar ketika ini merupakan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif DRB-HICOM University of Automotive Malaysia sejak 2017 dan pernah menjadi Naib Canselor, USM pada 2011-2016 .
Beliau juga terlibat dengan pelbagai program strategik pembangunan bakat peringkat kebangsaan dan pernah memimpin inisiatif peringkat kebangsaan Knowledge Transfer Programme (KTP) yang anjurkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi.
Selain itu, beliau turut mempunyai rangkaian kerja dengan pelbagai pihak industri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain kedua-dua figura yang terlibat aktif dalam dunia academia itu, tokoh ketiga, Hamdan pula ialah alumni USM yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran peringkat negeri.
Hamdan juga merupakan bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis selama dua penggal dari 2013 sehingga 2022 dan pernah menjadi Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perlis.
Beliau yang memulakan perkhidmatan sebagai pendidik adalah penerima Anugerah Tokoh Guru oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2023.
Pada 2024, MTalent terlibat secara langsung dalam penganjuran program pembangunan bakat peringkat kebangsaan dan menganjurkan program antarabangsa di Indonesia, Jerman, Estonia dan Jepun dengan kerjasama pelbagai rakan strategik dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette