BUKIT MERTAJAM – Pelaksanaan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan 2,261 akaun dibuka atau penambahan simpanan dengan jumlah RM216,200.00 dalam tempoh 15 Januari 2024 hingga 30 Jun 2024.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berharap masyarakat negeri ini terus merebut peluang untuk memohon bantuan ini.
Program Anak Emas dengan Kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Simpan SSPN Prime merupakan bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang literasi kewangan.
Ia juga sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Piang kepada penerima Program Anak Emas.
“Penabungan dari awal usia sangat penting agar anak-anak tidak bergantung kepada pinjaman untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika melancarkan Program Anak Emas pada hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang dan Pengurusan PTPTN, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Program ini diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Jun 2011 iaitu bayaran bantuan secara one-off berjumlah RM200 kepada bayi yang berumur 2 tahun ke bawah.
Melalui kerjasama strategik kedua-dua pihak ini, RM100 akan diberikan untuk pembukaan akaun/ penambahan deposit Simpan SSPN Prime berkuatkuasa pada 15 Januari 2024, dan RM100 disalurkan ke akaun bank pemohon yang layak.
Anak pemohon mestilah warganegara Malaysia; pendaftaran perlu dilengkapkan sebelum anak berumur dua tahun; dan salah seorang kepada ibu atau bapa kepada anak yang dilahirkan mestilah berdaftar dalam Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai Pengundi di Pulau Pinang.
Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan, iaitu pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
Sementara itu, Norliza berharap Simpan SSPN ini akan menjadi pilihan terbaik kepada ibu bapa kerana simpanan secara konsisten penting untuk masa depan pendidikan yang terjamin.
“Saya menyeru kepada semua agensi awam dan swasta untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai insentif atau hadiah bagi penganjuran aktiviti atau program yang bersesuaian. Semoga inisiatif murni Program Anak Emas ini disambut baik oleh seluruh masyarakat Pulau Pinang demi pembangunan anak bangsa selari moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda,” ujar beliau.
Sempena majlis pelancaran ini, pelbagai aktiviti dan hadiah menarik telah disediakan antaranya, Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Bayi Merangkak Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, Pertandingan Pakaian Beragam, penampilan badut, persembahan boria dan persembahan kanak-kanak tadika.
Program ini telah dimeriahkan lagi dengan kerjasama daripada agensi awam dan swasta yang membuka kaunter perkhidmatan dan pameran. – MalaysiaGazette