Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Kluang-Ayer Hitam, Batu Pahat, malam tadi.

BATU PAHAT – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di Kilometer 33.5 Jalan Kluang-Ayer Hitam dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sanio berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 10.15 malam melibatkan motosikal mangsa dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita.

“Kejadian dipercayai berlaku semasa kereta yang sedang dipandu wanita tempatan berumur 44 tahun dari arah sebuah kedai makan di sebelah kiri jalan Ayer Hitam sedang membuat pusingan U untuk ke arah Parit Raja.

“Kemudian datang motosikal ditunggang mangsa, Muhammad Johan Ja’afar berusia 25 tahun dari arah yang sama tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut, mangsa yang beralamat di Kampung Melayu, Batu 9, Ayer Hitam dan bekerja di sebuah pasar raya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau membahayakan.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM5,000 sehingga RM20,000.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian ini agar tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau Hotline Polis IPD Batu Pahat 07-4343999,” katanya.- MalaysiaGazette