Ismail Haniyeh mati pada 31 Julai 2024 selepas serangan yang dipercayai oleh Israel.

Oleh: Mohd Zaini Othman

MASYARAKAT dunia dan umat Islam yang selama ini bersatu hati dalam mendokong perjuangan kemerdekaan Palestin dan mengecam pembunuhan penduduk Gaza oleh rejim Zionis masih terkejut dengan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran pada Rabu. Israel tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bahawa mereka terlibat dalam misi pembunuhan terangcang ini dan seperti biasa berpura-pura seperti baling batu sembunyi tangan.

Haniyeh berada di Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian sebelum tempat tinggalnya diserang yang turut mengorbankan seorang pengawal peribadinya. Walaupun tanpa pengakuan rasmi, sudah terang lagikan bersuluh, bagi masyarakat antarabangsa yang sedang meratapi kematian Haniyeh sudah sedia maklum dalang utama kepada pembunuhan tragik ini adalah Israel sendiri.

Semenjak Hamas melancarkan serangan ke Israel pada 7 Oktober tahun lalu yang seterusnya menyaksikan reaksi balas pembantaian rakyat Gaza oleh rejim Zionis, tentera Israel secara terbuka berikrar menyatakan kepada dunia keinginan mereka untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas lain. Di pihak Hamas, pembunuhan pemimpin utama mereka tidak akan dibiarkan tanpa balasan. Menurut pegawai kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk seperti yang dipetik oleh Al-Aqsa TV yang dikendalikan oleh Hamas menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pengecut, lapor Reuters.

“Pembunuhan Ismail Haniyeh adalah “tindakan pengecut yang tidak akan dibiarkan tanpa balasan,” katanya. Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, jurucakap kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan pembunuhan pemimpin itu sebagai “mencetuskan keadaan lebih serius yang tidak akan mencapai matlamatnya”.

Selain mengundang kesedihan dan simpati masyarakat dunia, kematian Haniyeh juga turut menarik perhatian antarabangsa kepada persoalan apakah yang akan berlaku selepas ini khususnya konflik peperangan di Gaza yang belum nampak sinar untuk mereda. Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong semasa sesi tergempar Majlis Keselamatan susulan pembunuhan Ismail Haniyeh menyifatkan pembunuhan tokoh Hamas ini sebagai sabotaj ke atas kesungguhan pelbagai pihak untuk mewujudkan kedamaian, di samping mencabuli prinsip asas Piagam PBB yang menghormati keutuhan wilayah dan kedaulatan pelbagai negara. Malah menurut Fu, China amat bimbang dengan kemungkinan peningkatan ketegangan di rantau berkenaan.

Kebimbangan yang sama turut dikongsi oleh Malaysia yang sekian lama bersolidariti bersama rakyat Palestin turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Haniyeh. Memetik kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasab ketika menyampaikan ucapan di Dewan Negara pada Khamis, pembunuhan ini mempunyai beberapa implikasi yang amat besar terhad kestabilan dan keamanan global yang mewujudkan ancaman tercetus peperangan serantai di Asia Barat.

Mohamad berkata, pembunuhan Haniyeh yang merupakan perunding utama gencatan senjata itu juga telah membantutkan usaha untuk mencapai gencatan senjata dan mewujudkan keamanan yang kekal di Palestin.

“Bagaimana mungkin usaha gencatan senjata dapat diteruskan apabila pemain dan perunding utama gencatan senjata itu dibunuh dengan kejam. Semua ini jelas menunjukkan matlamat sebenar rejim Israel iaitu untuk meneruskan agenda genosid, kezaliman dan keganasan terhahap rakyat Palestin”.

“Yang terbunuh kali ini bukan sahaja seorang pemimpin utama Palestin, tetapi juga prospek untuk keamanan yang kekal,” katanya. Mohamad Hasan berkata kerajaan Malaysia berpandangan bahawa usaha untuk mencegah konflik di Palestin dari terus memuncak bukan sahaja gagal, tetapi telah menemui jalan buntu.

Sebelum ini Haniyeh, yang lokasi lazimnya berpangkalan di Qatar, menjadi wajah diplomasi antarabangsa kumpulan Hamas ketika perang yang dicetuskan oleh serangan kumpulan pejuang itu ke atas Israel pada Oktober tahun lalu. Dilantik ke jawatan tertinggi Hamas pada 2017, Haniyeh berpindah-randah antara Turkiye dan ibu kota Qatar, Doha, melarikan diri dari sekatan perjalanan di Semenanjung Gaza yang disekat.

Strategi itu membolehkannya bertindak sebagai perunding dalam rundingan gencatan senjata atau bercakap dengan sekutu Hamas, Iran. Sejak konflik di Gaza bermula dan telah berlarutan selama hampir 300 hari, dunia menyaksikan sendiri kekejaman rejim Zionis Israel melancarkan bersiri-siri serangan udara dan darat tanpa perikemanusian kepada penduduk Gaza. Dianggarkan lebih 40,000 nyawa terkorban, 90,000 cedera dan kemusnahan harta benda yang tidak terkira. Penulis menganggap ini adalah bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Malah sepanjang siri kempen serangan tentera Israel ini, ia turut meragut nyawa kira-kira 60 ahli keluarga Haniyeh antaranya tiga orang anak lelakinya dan empat orang cucu. Seruan penulis senada dengan masyarakat dunia yang tidak mahu melihat konflik di Gaza terus berlarutan kerana nyawa yang menjadi gadaian.

Pemimpin dunia yang berpengaruh dan pihak yang terlibat patut menyahut seruan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan peperangan dan melaksanakan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB. Sejarah sudah menulis, operasi ketenteraan dan penyalahgunaan kekerasan bukanlah pendekatan penyelesaian kerana ia hanya akan membawa kepada krisis yang lebih besar.

Mohd Zaini Othman

Mohd Zaini Othman merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitngan USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast