MELAKA – Pemuda DAP Melaka mahu kumpulan ‘perosak’ yang mempromosikan agama Kristian di hadapan Surau Warisan berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini, minggu lalu diajar dan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Ketuanya, Cassel Krishnan berkata, tindakan provokatif kumpulan dari luar Melaka itu dengan jelas telah mengganggu keseimbangan harmoni antara agama yang sudah lama dibina seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
Menurutnya, hormat dan toleransi bukanlah pilihan sebaliknya adalah keperluan dan tindakan membelakanginya turut dikecam Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST).
“Mereka yang terlibat boleh dianggap perosak, tidak relevan dan wajib diambil tindakan keras agar tidak menjadi barah dalam masyarakat kita.
“Secara peribadi sebagai penganut agama Kristian saya mengesahkan gereja-gereja dan kumpulan Kristian di Melaka sentiasa menjalankan aktiviti awam dengan kebijaksanaan dan kewaspadaan, menjalin hubungan mesra dengan pemimpin agama lain selari dengan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
“Melaka telah menjadi permaidani yang kaya dengan pelbagai bangsa dan budaya dari seluruh dunia, di mana masing-masing mengamalkan kepercayaan mereka dalam harmoni,” katanya dalam kenyataannya di sini.
Menurutnya, rekod sejarah menunjukkan sejak berabad-abad yang lalu, sebanyak 84 kumpulan etnik yang berbeza hidup bersama dengan aman di Melaka, bekerjasama dalam perpaduan.
“Memelihara budaya aman dan damai, toleransi, dan kepelbagaian ini mesti menjadi keutamaan tertinggi kita dan mana-mana pihak terutamanya parti politik dinasihatkan agar tidak mengeksploitasi isu ini untuk agenda peribadi.
“Kita tidak harus membiarkan isu ini menjadi tunggangan yang akan memecah belahkan masyarakat sebaliknya kita memerlukan usaha yang kolektif bagi mengekalkan harmoni di masyarakat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette