GEORGE TOWN – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Datuk Seri Phee Boon Poh telah selesai menjalani pembedahan jantung dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata, keadaan bapanya telah melepasi tahap kritikal namun masih dipantau di Unit penjagaan koronari (CCU).
“Doktor baru sahaja memaklumkan semua lawatan adalah dilarang untuk mengelakkan jangkitan bakteria serta boleh menjejaskan tekanan darah dan kadar degupan jantungnya.
“Terima kasih kepada semua atas keprihatinan dan doa kalian untuk ayah saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Boon Poh, 72, dibawa ke hospital sejurus dilaporkan terjatuh dirumahnya kira-kira jam 11.45 malam ekoran serangan jantung.
Ahli politik veteran DAP yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang memegang jawatan ADUN selama empat penggal sebelum bersara pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu. – MalaysiaGazette