SKOPJE – Presiden Kosovo, Vjosa Osmani terlibat dalam pergelutan dengan anggota keselamatan lapangan terbang yang menyebabkan tercetus pertelingkahan diplomatik.
Insiden berlaku apabila Osmani yang dalam perjalanan dari ibu negara Macedonia ke Slovenia enggan menyerahkan telefon bimbitnya kepada anggota keselamatan lapangan terbang yang meminta beliau mengimbasnya, kata Penasihat kepada Presiden, Egnesa Vitia kepada media Kosovo.
Vitia yang menyifatkan permintaan tersebut ‘bertentangan dengan amalan antarabangsa’ berkata, keenganan Osmani untuk mematuhi arahan tersebut menyebabkan kakitangan lapangan terbang cuba untuk ‘menolak’ Presiden.
“Presiden tidak (menyerahkan telefonnya) kerana ia mungkin pelanggaran (undang-undang) yang serius.
“Walaupun penerangan tentang peraturan-peraturan bahawa deligasi Presiden diketahui para pegawai lapangan terbang, dia cuba secara fizikal menolak Presiden,” kata Vitia.
Jurucakap Osmani, Bekim Kupina yang menyifatkan kakitangan lapangan terbang sebagai ‘angkuh dan berkelakuan ganas’ berkata, pertengkaran itu ‘tidak dijangka dan tidak berlaku kepada mana-mana Presiden di dunia ini’.
“Adalah jelas bahawa dalam kes ini, persoalannya terdapat keinginan unttuk melakukan provokasi kepada deligasi Republik Kosovo dan mencetuskan satu insiden,” kata Kupina.
Menteri Luar Macedonia Utara mengesahkan insiden itu menerusi kenyataan media namun menyatakan sebaliknya, bahawa seorang kakitangan keselamatan Osmani menarik seorang kakitangan lapangan terbang ke tepi bagi membolehkan Osmani melepasi kawalan sempatan tanpa telefon bimbitnya diimbas.
Menurut kenyataan kementerian tersebut, 30 minit selepas itu, tiga pegawai keselamatan kepada Speaker Parlimen Macedonia, Afrim Gashi tiba di lapangan terbang dan ‘mula membuat ancaman kepada kakitangan (Lapangan Terbang Antarabangsa Skopje) dan bertanya siapa yang menimbulkan masalah kepada Presiden selepas salah seorang daripada pegawai itu ‘menolak seorang anggota polis yang bekerja di kawalan sempadan’.
Dalam kenyataannya kepada media tempatan, pejabat Gashi yang menafikan perkara itu berkata, kakitangan keselamatan ‘ketika itu hanya untuk menenangkan keadaan’ dan menyelesaikan pertelingkahan antara kakitangan Osmani dan pegawai lapangan terbang.
Kementerian Dalam Negeri Macedonia Utara berkata, ia telah melancarkan siasatan insiden berkenaan, dengan Timbalan Perdana Menteri, Izet Mexhiti menyifatkan kejadian tersebut sebagai salah faham. – Agensi