Pengumuman rasmi oleh SPR berkenaan calon yang layak bertanding PRK DUN Nenggiri di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan, pagi tadi. - Video SPR

KUALA LUMPUR – Pertarungan merebut kerusi Dewan Undangan Nenggiri (DUN) Nenggiri bermula secara rasmi hari ini apabila dua calon iaitu masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disahkan bertanding.

Ia juga melambangkan proses demokrasi di Malaysia kekal subur dan diraikan dengan suara rakyat menjadi penentu kepada pembentukan negara.

Bermula hari ini sehingga tempoh hari pengundian pada 17 Ogos depan, DUN Nenggiri akan menjadi tumpuan seluruh jentera politik tanah air yang akan berkempen untuk meraih sokongan buat parti masing-masing.

Seperti yang sering dibayangkan, persaingan merebut DUN Nenggiri pada PRK kali ini akan berlangsung sangat sengit disebabkan kedua-dua parti yang bertanding mempunyai misi besar untuk memastikan kemenangan di kerusi tersebut.

Namun, di sebalik keghairahan berkempen dan menarik undi itu, jentera parti politik yang bertanding diharapkan tidak sesekali mengabaikan atau membelakangkan budaya serta tatasusila rakyat Malaysia yang sentiasa berpaksikan kepada kesederhanaan.

Seperti yang ditegaskan pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling, budaya berpolitik yang meraikan perbezaan pendapat tanpa melibatkan sebarang unsur yang boleh membawa kepada keganasan itu sudah menjadi amalan sejak kemerdekaan negara pada 1957.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling.

Jelas Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, cara berpolitik negara juga berteraskan nilai ketimuran dan keagamaan sekali gus memastikan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Walaupun proses demokrasi ini merupakan idea Barat, namun kita perlu menyesuaikan dengan amalan dan budaya Malaysia yang mengutamakan keamanan dan kematangan dalam memilih kerajaan.

“Kita sepatutnya menjadikan pengalaman dan contoh di Indonesia yang mengamalkan demokrasi, namun dalam bentuk dan budaya Indonesia,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

PRK DUN Nenggiri bermula secara rasmi hari ini dengan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan PN.

BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, manakala PN yang bertanding menggunakan logo Pas meletakkan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Rizwadi Ismail.

Dalam pada itu, Dr. Faisol berkata, sebarang unsur bertentangan yang ditonjolkan sepanjang berlangsungnya pilihan raya yang boleh membawa mudarat kepada keamanan dan kestabilan adalah benih yang akan dibesarkan pula oleh generasi akan datang.

Sehubungan itu, katanya, parti yang bertanding perlu memastikan keamanan sepanjang tempoh berkempen dengan tidak ada pihak yang sengaja menyentuh isu sensitif khususnya berkaitan 3R (agama, raja dan kaum).  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast