Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) dan Mohd. Rizwadi Ismail (kanan).

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani untuk merampas semula kerusi DUN itu.

Sementara itu, PN yang akan menggunakan logo Pas diwakili calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd. Rizwadi Ismail dalam misi mempertahankan kerusi tersebut.

Pengumuman calon yang layak bertanding itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nik Raisnan Daud selepas proses penamaan calon di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang tamat pukul 10 pagi tadi.

Pengumuman rasmi oleh SPR berkenaan calon yang layak bertanding PRK DUN Nenggiri di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan, pagi tadi. – Video SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos.

Bagaimanapun, proses pengundian awal itu tidak akan diadakan susulan kesemua 14 pengundi yang terlibat memilih mengundi secara pos disebabkan perlu bertugas sepanjang tempoh kempen PRK tersebut.

Berdasarkan data SPR, seramai 20,259 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRK DUN Nenggiri membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd. Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) Ogos tahun lalu, Mohd. Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

DUN Nenggiri mula dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan sepanjang lima pilihan raya, empat daripadanya dimenangi BN dengan kali terakhir dimenangi Mohd. Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas.

Sementara itu, beberapa pemimpin tertinggi kedua-dua parti turut dilihat bersama-sama ribuan penyokong masing-masing mengiringi calon mereka sejak awal pagi.

Antaranya, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengarah Pilihan Raya BN PRK Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, pemimpin PN yang hadir termasuk Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengarah Operasi PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast