KUALA LUMPUR – Akibat takut dicederakan, pemandu sebuah Honda CRV telah mengheret motosikal sejauh 100 meter di Jalan Rawang-Bestari Jaya dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan mendapati ketika pengadu berada di hadapan kedai KK Mart di Bandar Country Homes, sebuah kereta Honda CRV dipandu lelaki berusia 50 tahun telah melanggar motosikalnya ketika mengundur keluar daripada parkir.
“Kemudian pengadu pergi ke arah kereta itu bersama lima rakannya namun pemandu itu dalam keadaan takut cuba melarikan diri kerana bimbang dicederakan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ariffin, pengadu bersama rakannya cuba mengejar kereta itu dan apabila sampai di lampu isyarat hadapan stesen minyak Bandar Country Homes, salah seorang penunggang motosikal menghalang di hadapan kereta itu.
“Akibat takut pemandu terbabit terus memecut dan melanggar serta mengheret motosikal sejauh 100 meter dan terpaksa berhenti selepas tayarnya pecah,” katanya.
Menurut Noor Ariffin, pihaknya telah mengesan video tular itu kira-kira pukul 8 pagi 1 Ogos lalu dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 1.20 pagi.
Katanya, pihaknya juga telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu berusia 18 tahun sekitar 2.30 pagi hari yang sama.
Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-6004104 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-612 62222. – MalaysiaGazette