Prebet Muhammad Fakrullah Nazri.

MELAKA – Keluarga anggota tentera, Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, buntu memikirkan keberadaan pemuda itu yang masih belum ditemui sehingga hari ini selepas 40 hari kehilanganya sejak 24 Jun lalu.

Bapanya, Nazri Abd Rahim, 48, berkata, sebelum ini anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah menceritakan sebarang masalah dihadapi termasuk kemungkinan dibuli atau isu kewangan.

“Kalau nak kata kena buli, November ini genap tiga tahun dia masuk tentera dan dah lepas pun tempoh suai kenal enam bulan malah Fakrul tak pernah cerita berdepan masalah kerja.

“Masalah hutang pun tak mungkin sebab dia tak pernah cerita termasuklah dengan teman wanitanya pun mereka tiada masalah dalam hubungan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut Nazri berkata, kali terakhir anak sulungnya dapat berhubung dengan Fakhrullah adalah pada 4 Julai lalu selepas melihat dia aktif di aplikasi TikTok, namun mesej yang dihantar tidak dibalas.

“Sejak itu, kami gagal menghubunginya membuatkan saya terpaksa keluar mencarinya sekitar Melaka kerana ada menerima maklumat daripada orang ramai ternampak kelibatnya di sebuah restoran di Semabok, minggu lepas.

“Saya mohon jasa baik orang ramai sekiranya ternampak Fakrullah supaya segera memaklumkannya di balai polis berhampiran,” katanya.

Khamis lalu, polis meminta orang ramai membantu mengesan Fakrullah yang hilang selepas keluar dari rumahnya untuk melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang pada 24 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dipetik berkata, dia yang telah berkhidmat dalam tentera sejak dua tahun lalu dikatakan keluar rumah pada pukul 8.10 malam untuk melapor tugas di kem berkenaan selepas tamat tempoh bercuti.

Pemuda tu bagaimanapun dilaporkan tidak hadir bertugas selepas keluar rumah menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC warna hijau bernombor pendaftaran MBR 7230.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Sarjan Mejar Zulkeple Berahim di talian 010-505 2368 atau Balai Polis Tanjung Kling 06-351 1222. – MalaysiaGazette

Hilang selama 38 hari, di mana Prebet Fakhrullah?

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast