Tapak gajah dikesan di lokasi wanita warga emas ditemui maut di kebun getah di Batu 29, Kahang, Kluang, hari ini

KLUANG – Seorang wanita warga emas maut selepas cedera parah diserang gajah semasa menoreh dalam kebun getah di Batu 29, Kahang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, mangsa (gambar kecil) patah tulang rusuk kiri dan kanan selain pendarahan dalam dada.

Katanya, mangsa juga mengalami koyakan bahagian jantung, patah tulang belakang serta pendarahan dalam perut akibat koyakan pada bahagian hati.

Bahrin berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 7 pagi ketika mangsa, Misirah Sanima, 75, yang beralamat di Kampung Sri Lukut sedang menoreh getah.

“Kejadian tersebut disedari jiran mangsa iaitu seorang lelaki berusia 64 tahun ternampak wanita berkenaan tidak sedarkan diri akibat diserang gajah.

“Jiran mangsa terus membawa wanita berkenaan ke Klinik Kesihatan Batu 22, Kahang untuk mendapatkan rawatan. Sampai di klinik kesihatan itu, Pembantu Pegawai Perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada pukul 8.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan ke atas tubuh mangsa dan kawasan persekitaran tempatnya ditemukan mendapati tiada unsur jenayah atau khianat.

Menurutnya, Ketua Polis Balai Kahang bersama-sama anggotanya pergi ke tempat kejadian tersebut yang terletak di tepi jalan utama dan siasatan mendapati terdapat kesan tapak kaki gajah liar.

Selain itu katanya, mereka turut menjumpai cermin mata dan alat menoreh getah milik mangsa.

Bahrin berkata, jiran mangsa memaklumkan semasa berada di rumah berhampiran tempat kejadian tersebut, ada individu memberitahu melihat sekumpulan gajah liar sedang beredar dari kawasan kebun getah tempat warga emas itu menoreh.

Jiran mangsa menunjukkan tempat mangsa ditemukan selepas diserang gajah di kebun getah di Batu 29, Kahang, Kluang, hari ini.

Berikutan itu kata beliau, pihak Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dimaklumkan untuk tindakan susulan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk bedah siasat.

“Bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat beberapa kecederaan iaitu patah tulang rusuk kiri dan kanan beserta pendarahan dalam dada dan koyakan pada jantung, patah tulang belakang serta pendarahan dalam perut akibat koyakan pada hati,” katanya. – MalaysiaGazette