Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencabul seorang pelajar sekolah menengah di Wangsa Maju, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, siasatan mendapatikejadian berlaku ketika remaja berusia 18 tahun itu sedang berjalan seorang diri untuk pulang ke rumahnya selepas sekolah.

“Suspek yang muncul secara tiba-tiba disyaki melakukan perbuatan cabul terhadap mangsa Ketika sedang melalui laluan Jalan Melati 1, di lokasi kejadian berkenaan.

“Mangsa yang panik dengan tindakan suspek kemudian menjerit sekuat-kuatnya meminta pertolongan sebelum berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di kawasan berhampiran insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Lazim, suspek cuba melarikan diri bagi mengelak ditahan orang ramai selepas melakukan jenayah itu namun berjaya diberkas di Stesen LRT Taman Melati.

“Pihak polis yang dimaklumkan mengenai kejadian kemudian menangkap suspek yang sudah dikepung orang awam yang membantu menahannya di stesen LRT tersebut, ujarnya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 6 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencabul kehormatan (Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatannya).

“Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atay mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” kata beliau. – MalaysiaGazette