Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja di Hotel Premiere, Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 OGOS 2024.

KLANG – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menghargai sumbangan UMNO  yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

Presiden parti itu Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi berkata ia dibuktikan melalui pelantikan tujuh menteri penuh daripada parti berkenaan.

“DAP yang mempunyai kerusi lebih daripada kita mereka hanya mempunyai lima menteri penuh ertinya Perdana Menteri memberikan penghargaan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja.

Bagaimanapun Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata akar umbi tidak patut menganggap kedudukan UMNO lebih dominan daripada rakan-rakan parti itu.

“Janganlah kita di akar umbi menganggap yang tujuh ini seolah-olah kita dominan, seolah-olah kita mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melayani semua permintaan,” katanya lagi.

Sebaliknya beliau menambah, ahli UMNO  di akar umbi perlu memahami realiti politik baharu ketika ini.

“Kita mesti mengukur baju di badan sendiri, saya mengingatkan jaga kerajaan perpaduan ini baik-baik,” katanya lagi.-MalaysiaGazette