Orang ramai menunaikan Solat Maghrib pada Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Berbekalkan semangat jitu untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin, ribuan orang mula membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin.

Pemerhatian MalaysiaGazette mendapati orang ramai terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk kanak-kanak dan warga emas mula hadir seawal jam 5 petang sambil membawa poster dan bendera Palestin.

Himpunan itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, perkarangan Axiata Arena turut dimeriahkan dengan gerai jualan mafla, kemeja T dan pelbagai cenderahati lain yang tertera tulisan solidariti bersama rakyat Palestin.

Selain orang awam, MalaysiaGazette mendapati beberapa buah kenderaan membawa wakil kerajaan negara luar antaranya Duta Palestin, Maghribi, Tajikistan, Turkiye, Lubnan, Republik China dilihat tiba untuk sama-sama mendesak supaya genosid di Palestin dihentikan segera.

Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, pasukan polis dilihat mengawal keselamatan dan lalu lintas di stadium berkenaan.

Antara program yang telah disusun pada malam ini adalah Tazkirah dan Tadabbur Ibrah Perjuangan Palestin disusuli solat Maghrib berjemaah.

Anwar dijangka tiba jam 9.10 malam disusuli pidato oleh lima pemimpin tertinggi tempatan iaitu bermula dengan Steven Sim, Setiausaha Agung PKR Pusat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, President Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri juga dijangka menyampaikan pidato pada kemuncak acara malam ini.-MalaysiaGazette