(Arkib) Seorang pejuang memegang bendera pergerakan Hezbollah. Foto IRNA

BEIRUT- Hezbollah pada Ahad memaklumkan pihaknya melancarkan berpuluh roket Katyusha ke arah utara Israel sebagai tindak balas terhadap serangan rejim itu di selatan Lubnan, lapor Xinhua memetik TV Al Manar Lubnan.

Video yang dikongsi dalam talian memaparkan sistem pertahanan udara Iron Dome Israel memintas beberapa peluru berpandu di bahagian utara.

Sebuah dron Israel menyerang sebuah kedai kecil pada Sabtu di kampung Deir Siriane di tenggara, mengakibatkan seorang budak lelaki terbunuh dan enam orang awam cedera termasuk tiga kanak-kanak, menurut sumber tentera Lubnan kepada Xinhua.

Dalam kejadian lain, seorang cedera akibat serangan dron Israel di kampung Tayr Harfa di barat daya sebelum dihantar ke hospital di bandar Tyre dengan ambulans, menurut sumber.

Dron dan pesawat perang Israel melakukan enam serangan pada petang Sabtu di lima bandar dan kampung di selatan Lubnan, manakala artileri Israel mengebom lapan bandar dan kampung di sektor timur dan barat kawasan sempadan di selatan Lubnan.

Tentera Israel pada Sabtu mendakwa jetnya menyerang beberapa bangunan yang digunakan oleh Hezbollah di Tayr Harfa dan Kafr Kila di selatan Lubnan, serta kereta kebalnya turut mengebom sebuah struktur yang digunakan oleh Hezbollah di Rab al-Thalathine, lapor The Times of Israel pada Ahad.

Situasi tegang menyelubungi Lubnan berikutan serangan Israel di Dahieh di pinggir selatan Beirut pada Selasa, yang mengorbankan komander tentera kanan Hezbollah, Fouad Shokor.

Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah mengancam bertindak balas terhadap serangan Israel.

— BERNAMA-XINHUA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast