Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memberkas 17 pengikut ajaran sesat Millah Ibrahim/Abraham dalam serbuan berasingan di empat daerah kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Ops Milab (Millah Ibrahim/Abraham) itu dijalankan secara bersepadu oleh Bahagian Penguat Kuasa JAINJ bersama-sama Cawangan Khas Bukit Aman dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.

“Operasi berkenaan dilakukan secara serentak di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat bagi tujuan membanteras penyebaran ajaran dan fahaman Millah Ibrahim/Abraham.

“Ajaran tersebut telah difatwakan sesat di negeri Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 Mac 2016 sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 17 individu terbabit akan dihadapkan ke mahkamah di sini pada 6 Ogos ini untuk pertuduhan kes tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras dan mengekang sebarang penyebaran ajaran sesat berpandukan Enakmen dan perundangan yang berkuat kuasa.

“Orang ramai hendaklah tidak terpengaruh terhadap fahaman dan ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang ajaran yang mencurigakan,” katanya.- MalaysiaGazette