KUALA LUMPUR – Seramai 1,185,050 pelancong dari China datang ke Malaysia setakat Mei 2024, meningkat 194 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, peningkatan itu disebabkan pelaksanaan pengecualian visa antara kedua-dua negara.

“Saya menggalakkan semua syarikat penerbangan merebut peluang ini dan memperluas kesalinghubungan antara Malaysia dengan pelbagai negara untuk menyediakan lebih banyak kemudahan serta pilihan untuk pelancong di seluruh dunia selain mewujudkan situasi sama menang,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
King Sing turut mengumumkan pelancaran penerbangan terus pertama AirAsia dari Ningbo, China ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sabah, yang akan beroperasi tiga kali seminggu menggunakan pesawat Airbus A320, masing-masing dengan kapasiti 180 tempat duduk.
Beliau berkata, penerbangan terus itu akan membantu menarik pelancong terutama dari Wilayah Zhejiang serta wilayah lain di China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November tahun lalu mengumumkan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India bermula Disember tahun yang sama.
China juga bersetuju melanjutkan pengecualian visa untuk pelancong Malaysia dari 15 kepada 30 hari sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada Mei tahun ini. – MalaysiaGazette