Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

KUALA LUMPUR – Keputusan mengenai isu melibatkan penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid akan diketahui dalam masa terdekat.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang memberitahu, Jawatankuasa Tauliah MAIS baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Ustaz Don berhubung fakta ceramah agama pendakwah itu.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan secara rasmi mengenai hasil pertemuan itu.

“Saya rasa pihak Jawatankuasa Tauliah MAIS sedang meneliti maklumat-maklumat yang sudah diterima dan juga pandangan ahli jawatankuasa berkenaan.

“Laporan hasil pertemuan dan maklumat lain dikumpulkan supaya keputusan yang dibuat nanti adil dan saksama.

“(Kita) sedang menunggu keputusan dari Jawatankuasa Tauliah MAIS. Satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau MAIS (tidak lama lagi),” katanya seperti dilaporkan.

Abdul Aziz Mohd Yusof

Media sebelum ini melaporkan Ustaz Don diberi tempoh selama 14 hari bagi memberi kenyataan bertulis selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Langkah itu dilakukan agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap penceramah tersebut.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu berdasarkan beberapa aduan diterima JAIS.

Sebelum ini, beliau turut ditamatkan khidmatnya sebagai pengacara program Salam Baitullah di RTM selain, turut memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan mengenai ibadah berpuasa pada hari tasyrik. – MalaysiaGazette