Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia sedia membawa balik sebahagian wanita dan kanak-kanak yang cedera serta sakit di Palestin untuk dirawat di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara tersebut telah disuarakannya kepada Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi.

Dalam masa yang sama beliau berkata, akan mengadakan perbincangan dengan Bank Negara bagi memperincikan perihal peruntukan mengenai hasrat tersebut.

Jelas Anwar, cadangan itu merupakan bantuan kemanusiaan berterusan dari Malaysia kepada penduduk di Gaza yang dizalimi Israel.

“Saya tidak berupaya bicara lebih daripada itu, namun saya boleh mengatakan Insyallah kita akan lakukan sedaya upaya.

“Kita akan suarakan pandangan tidak kira depan siapa.  Kita akan bantu yang sakit, sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari untuk diberi rawatan kita akan teruskan tanpa tolak ansur.

“Kerajaan akan peruntukkan dana, kita bincang dengan Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour. Saya ucap terima kasih kerana kerjasama diberikan, juga ambil peluang terima kasih kepada Emir Qatar kerana buatkan pengurusan sebelum ini, kerana ia bantuan berterusan.

“Saya berhubung dengan Al Fatah Sisi untuk uruskan bantuan kemanusiaan dan sokong dan benarkan kita bawa balik yang wanita dan kanak-kanak yang sakit dan cedera,” katanya ketika berucap di Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena.

Beliau dalam masa yang sama turut memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya untuk menyuarakan tentangan terhadap Israel di mata dunia.

Sementara itu, Anwar menyeru rakyat Malaysia supaya meneruskan usaha untuk menyebarkan tragedi di Palestin dan kekejaman Israel secara konsisten.

“Selain itu saya harap saudara-saudara jangan berhenti bicara mengenai Palestin setiap hari, (teruskan) membantu bersedekah (untuk) ringankan beban rakyat Palestin.

“Saya mahu Malaysia diletak dalam sejarah menjadi negara yang bersungguh-sungguh memperjuangkan Palestin,” ujarnya.-MalaysiaGazette