Seorang pemuda maut tercampak keluar dari kereta yang dipandunya selepas terbabas dan melanggar penghadang besi jalan di Bulatan Persiaran Indah, Bukit Indah, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Seorang pemuda maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Bulatan Persiaran Indah, Bukit Indah di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu, kereta Toyota Vios berkenaan ‘terbang’ selepas melanggar penghadang jalan berkenaan sehingga melepasi bulatan tersebut dan tersangkut pada pagar besi di situ.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemuda itu yang berusia 24 tahun bersama-sama rakannya, 31, hilang kawalan semasa tiba di lokasi terbabit.

“Pemuda berkenaan terbabas semasa hendak masuk ke bulatan berkenaan lalu melanggar penghadang jalan.

“Mangsa kemudian tercampak keluar dari kereta dan mengalami kecederaan parah di kepala serta patah tangan kanan. Rakannya pulak mengalami kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk bedah siasat dan rakannya turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Menurut Kumarasan, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang awam hang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh hubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri 07-5101322. – MalaysiaGazette