Insiden sebatang pokok tumbang lalu menghempap dua lelaki di kawasan tapak perkhemahan di Lubuk Beriang, Kg Pagar Sasak, Padang Tengku, di Lipis awal pagi tadi

LIPIS – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dihempap sebatang pokok di Lubuk Beriang, Kg Pagar Sasak, Padang Tengku, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Lipis Superintendan Ismail Man berkata mangsa Mohd Azliana Alias,54, beralamat di Teras Jernang, dekat Selangor  disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis di sini.

Difahamkan kedua-dua mangsa bermalam di lokasi kejadian kerana memancing di situ sejak Jumaat lalu.

”Polis ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat ke kawasan sungai atau lata yang juga sebagai tempat aktiviti penduduk kampung mencari ikan serta tempat perkhemahan.

”Pada jam 7 pagi tadi, sebatang pokok telah tumbang di kawasan perkhemahan mereka ekoran hujan lebat pada malam tadi.

”Akibat itu kedua-dua mangsa telah mengalami cedera parah akibat dihempap pokok. Kedua -dua mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa yang bernama Mohd Azliana Alias, bekerja sebaga penjaga stor sebuah farmasi disahkan meninggal dunia akibat mengalami pelbagai kecederaan (polytrauma ) pada jam 1.15 petang tadi.

Manakala seorang lagi mangsa bernama Dzulkefli Aman, 44 tahun dari Kg Yain Kechau, dekat Kuala Lpis mengalami patah bahagian kaki kanan dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama.

Ismail menasihatkan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast