Gambar menunjukkan Tengku Razaleigh (kanan) bersama calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dimuatnaik di Facebook: Gambar: Facebook Tengku Razaleigh Hamzah.

KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi parti Barisan Nasional (BN), Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyeru agar pengundi-pengundi memberi peluang dengan memenangkan calon parti itu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada 17 Ogos ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Ku Li berkata, beliau secara peribadi yakin dengan keupayaan Mohd Azmawi ataupun Awi untuk menjadi wakil rakyat di Nenggiri.

“Ambo (saya) secara peribadi yakin dan percaya kepada kemampuan Saudara Awi untuk menerajui DUN Nenggiri kita kali nih

“Marilah pakat beri sokongan padu kepada Calon 02 Awi kito 17 haribulan nihhh!,” katanya di laman sosial itu.

Pada hantaran tersebut Tengku Razaleigh turut memuat naik sekeping gambar beliau bersama Mohd Azmawi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Mohd Azmawi untuk merampas semula kerusi DUN itu.

Sementara itu, PN yang akan menggunakan logo PAS diwakili calon daripada Parti Pribumi Malayusia (Bersatu) yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail dalam misi mempertahankan kerusi tersebut.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu diadakan pada 3 Ogos (semalam) diikuti pengundian pada 17 Ogos ini. – MalaysiaGazette