Jay Jay meninggal dunia

KUALA LUMPUR- Penyanyi yang popular dengan lagu Rindu Bayangan, Jay Jay menghembuskan nafas yang terakhirnya di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.

Berita duka itu dikongsikan sahabat-sahabat dunia seni antaranya Datuk Fauziah Ahmad Daud.

“Innalilahi wainnailahi roji’un

“Dapat berita pulangnya Biduan Jay Jay kpd Ya Khaliq.. Hilangnya seorang insan seni yang tiada pengganti.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah,diampunkan dosa-dosanya, diterima segala amal ibadahnya dan ditempatkan arwah bersama hamba-hambaNya yang beramal soleh.

“Aamiin Allahumma Aamiin. Takziah buat keluarga arwah. Al-Fatihah,” kata Fauziah yang juga dikenali sebagai Ogy di Facebooknya.

Pada 23 Mei lalu, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus,67, menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Bagaimanapun, bekas Vokalis untuk kumpulan Carefree itu diserang akhir ahmar selepas menjalani pembedahan berkenaan.

Allahyarham kemudiannya meneruskan rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.-MalaysiaGazette