Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sedia meletakkan calon sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, kelmarin.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya kini menunggu pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pada masa ini, jentera PN digesa menumpukan kempen di PRK Nenggiri dan PN berkemungkinan meletakkan calon sekiranya PRK diadakan di DUN Mahkota.

“Seperti di PRK Nenggiri, kita akan terus menggunakan isu sama untuk menangani pengundi.

“Kos sara hidup yang semakin meningkat, kenaikan harga diesel dan isu integriti kerajaan akan menjadi tumpuan utama kami di DUN Mahkota,” katanya seperti dilaporkan.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau yakin mereka yang berada di Mahkota akan memberikan undi kepada PN.

SPR sebelum ini dilaporkan menerima makluman mengenai kekosongan kerusi DUN Mahkota susulan kematian Sharifah Azizah daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. – MalaysiaGazette