Teo Nie Ching (tengah) bersama penerima dalam Program Sumbangan Pelajar Cemerlang Peringkat Parlimen Kulai di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, hari ini

KULAI – Kementerian Komunikasi mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRK DUN Nenggiri untuk lebih berhati-hati dalam penyebaran kandungan palsu yang dihasilkan oleh Kecerdasan Buatan (AI).

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa membuat pemantauan bagi mengelakkan media sosial dan AI disalah guna dalam kempen pilihan raya.

“Sekarang ini zaman AI sekarang, jadi saya nasihatkan kepada semua pengguna media sosial apabila kita menerima sesuatu maklumat, kalau kita tak pastikan kesahihannya jangan kita kongsi.

“Dengan AI ini senang sahaja untuk buat video, gambar yang disunting dan tentunya banyak juga ‘scammer’ yang guna pakai AI untuklah buat video Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), video orang-orang terkenal.

“Apabila kami menghadapi satu PRK ada kemungkinan jugak ada orang yang sengaja guna pakai AI untuk buat kandungan media sosial palsu, jadi nasihat saya kepada semua ialah SKMM bersama dengan PDRM dan juga semua pihak kami akan teruslah buat pemantuan apabila kita mendapati ataupun menerima aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Sumbangan Pelajar Cemerlang Peringkat Parlimen Kulai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, hari ini.

Selain itu beliau turut menasihatkan, calon yang bertanding pada DUN Nenggiri tidak menyentuh isu berkaitan agama, bangsa dan institusi Diraja (3R) dalam media sosial.

Tambahnya, semua pihak perlu bertanggungjawab dan bertindak matang dengan tidak memecah-belahkan masyarakat hanya disebabkan mahu menang dalam satu PRK.

“Penyokong boleh berbahas dan berkempen dalam media sosial tetapi biarlah dalam keadaan rasional dan kekal harmoni,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Kulai.- MalaysiaGazette