Speaker DUN Johor, Datuk Dr Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Mahkota kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Menurut Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, penyerahan notis berkenaan adalah untuk tindakan lanjut SPR.

“Pagi ini saya memaklumkan kepada pihak SPR melalui hantaran faks mengenai kekosongan kerusi DUN dalam kawasan Mahkota kerana penyandangnya meninggal dunia pada 2 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.

Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, pukul 12.32 tengah hari kelmarin.

Anak kelahiran Kluang itu yang lahir pada 8 Disember 1960 merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).

Beliau menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu.

Sharifah Azizah meninggalkan empat cahaya mata iaitu
Wan Mohd Hibatullah, 40, Wan Mohd Hazwan, 39, Wan Mohd Hasbullah, 34 dan Wan Harizahtul Nadia, 33. – MalaysiaGazette