Orang ramai yang hadir menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto SADIQ SANI, 4 OGOS 2024

BUKIT JALIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Islam dan bukan Islam di seluruh negara demi berusaha mewujudkan tata cara dunia baharu demi menentang kekejaman Israel.

Itu rayuan yang disuarakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di pentas Himpunan Pembebasan Palestin.

Beliau juga dalam masa yang sama meminta Anwar mengajak negara-negara yang mengiktiraf Israel untuk memutuskan hubungan dengan kuasa penceroboh itu.

“Wahai PM yang ku kasihi namamu begitu harum di seluruh dunia. Kamu berupaya membuat satu tata cara baru di dunia ini. Rapatlah dengan negara-negara Islam yang iktiraf Israel tapi ajak mereka putuskan hubungan dengan Israel.

“Rayuan kami PM dengar, kamu berupaya (PM) saya sudah lihat dalam masa dua tahun ini… Kamu berupaya bertemu dengan pemimpin Islam dan bukan Islam untuk mewujudkan tata cara dunia baru,” katanya.

Pentas solidariti itu malam ini dilihat mengundang emosi pemimpin-pemimpin yang hadir.

Antara yang hadir adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Himpunan tersebut diadakan demi menunjukkan solidariti Malaysia terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast