Ketua UMNO Bahagian Kota Raja merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja di Hotel Premiere, Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 04 OGOS 2024.

KLANG – UMNO Bahagian Kota Raja meminta supaya parti itu diberikan satu kerusi di bawah Parlimen berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Ketua Bahagiannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggunakan pentas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian tersebut untuk menyampaikan hasrat berkenaan kepada rakan-rakan wakil Pakatan Harapan yang menghadiri mesyuarat tersebut.

Katanya, jika diberi peluang tersebut, beliau memberi jaminan akan mengekalkan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dalam masa yang sama menguatkan UMNO di Parlimen itu.

“kami di UMNO Kota Raja ada satu hajat, di atas semangat perpaduan, depan rakan Pakatan Harapan daripada empat kerusi, berilah satu kerusi UMNO Kota Raja bertanding satu kerusi, tidak minta banyak kami tahu ukur baju di badan sendiri.

“Saya beri komitmen jika kerusi itu diberi kami bukan hanya akan buat yang terbaik, tetapi semangat perpaduan akan buat kami jauh lebih bersemangat untuk bantu kerusi semua kawasan di bawah Parlimen itu,” katanya ketika menyampaikan ucapan.

Hajat Zafrul itu kemudian disambut oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merasmikan mesyuarat perwakilan berkenaan.

Walaubagaimanapun Zahid berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan secara berhemah dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan yang menjadi pentadbir utama di negeri Selangor.

“Kita harap di Kota Raja ini rakan-rakan (PH) akan melihat kebersamaan bahawa takkanlah daripada empat satupun tidak boleh diberi kepada kita.

“Bunga Kemboja warna menawan, bunga mekar jadi idaman, kini kita dalam kerajaan perpaduan, samalah kita eratkan persefahaman.

“Kota Raja takde hal, Tengku Zafrul memang kawan, mohon satu kerusi no hal. kita bincang sesama kawan,” katanya berkias dengan pantun.

Sebagai rekod, Parlimen Kota Raja terdiri daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning.

Pada pilihan raya yang lalu,  timbul ura-ura Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dikatakan akan bertanding di salah satu kerusi di bawah Parlimen Kota Raja.-MalaysiaGazette