KLANG – Pengerusi UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berjabat tangan dengan mesra menandakan ‘sengketa lama’ kedua-duanya sudah berakhir.
Kedua-dua pemimpin itu bersalaman selepas diminta Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di pentas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini.
Sebelum itu Zahid meminta akar umbi parti di bahagian tersebut memberikan sokongan kepada Zafrul sebagai Ketua.
Namun dalam masa yang sama beliau berharap Zafrul yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu terus menyantuni akar umbi untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuhkan hubungan.
“Jangan harap duduk di atas pentas saja. Kalau yang bawah tidak memberi sokongan (tidak boleh juga). Oleh itu turun ke bawah santuni akar umbi…
“Akar umbi pun jangan jadi batu api.
“Zafrul, kamu ada masa depan yang cerah, tapi dengan syarat turun ke bawah menangani semua akar umbi, itulah hakikatnya.
“Jagalah hubungan baik dengan Datuk Megat. Perkara lepas kita ketepikanlah. Dalam politik kecil hati perkara biasa,” jelasnya.
Sebelum ini Zafrul dan Zulkarnain didakwa tidak mempunyai hubungan yang baik.
Dikhabarkan, situasi tersebut mengakibatkan Zafrul meletakkan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor.
Beliau mendakwa, perancangan kebangkitan parti di negeri itu sebagai hambar dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO peringkat pusat.-MalaysiaGazette