Liew Chin Tong

JOHOR BAHRU – Penentuan dan pelantikan calon termasuk pembahagian kerusi untuk Pakatan Harapan (PH) dalam mana-mana pilihan raya perlu ditentukan pucuk pimpinan secara musyawarah.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, pihaknya berpegang kepada amalan lazim gabungan politik tersebut tanpa perlu didedah atau dibincangkan kepada pihak media massa.

“Biarlah kepimpinan membuat keputusan tanpa sebarang spekulasi serta tanpa mana-mana pihak membuat tuntutan terbuka di media massa.

“Rundingan kerusi akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan DAP Johor akan menghormati keputusan yang bakal dibuat.

“Kami juga berpegang kepada prinsip incumbency di mana kerusi yang dimenangi pada PRU (pilihan raya umum) dan PRN (pilihan raya negeri) sebelum ini akan ditandingi parti penyandang dalam pilihan raya kecil PRK akan datang.

“Ini sama seperti ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, dan juga dalam PRK-PRK yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dalam satu sidang akhbar di sini mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurut Mohd Zuhan, ini kerana Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.

Susulan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyatakan kekesalan dengan kenyataan Mohd Zuhan itu dan menyifatka desakan itu sebagai gelojoh dan tamak.

Menurut Noor Azleen, sikap yang ditunjukkan Amanah itu langsung tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dilaporkan berkata ini susulan SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.- MalaysiaGazette