KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, Klang, Selangor sekitar jam 4.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Foong berkata, kejadian membabitkan empat motosikal jenis Yamaha 125ZR, Yamaha Lagenda 115Z, Yamaha Y16ZR dan Honda RS-X FS150 yang ditunggang laju.

“Beberapa kumpulan ‘mat rempit’ melakukan aksi merbahaya dengan menunggang secara laju di sepanjang jalan dari Kompleks Sukan Pandamaran ke Pelabuhan Klang sebelum berpatah balik serta membuat beberapa pusingan.

“Kemudian, salah sebuah motosikal telah terbabas di atas jalan raya sebelum dirempuh oleh beberapa motosikal dari kumpulan yang lain.

“Akibat kejadian itu, dua lelaki berusia 16 dan 21 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawia Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Khairul Nizam di talian 010-2452144.

Hoong Foong turut memaklumkan bahawa, lokasi itu sering dikesan dijadikan litar atau medan golongan remaja terutama pada malam minggu biar pun operasi sudah dilaksanakan polis.

Susulan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti anak-anak agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram yang boleh mengancam nyawa dan pengguna jalan raya.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 17 saat memaparkan pelanggaran beberapa buah motosikal di jalan raya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tahniah mat² rempit, anda telah berjaya untuk balik hidup di hutan, bila peluang pekerjaan yg diperuntukkan oleh kerajaan dan negara telah berjaya membuat para pendatang asing merebut peluang dgn meninggalkan kumpulan kamu kebelakang. Bersedia untuk merempat di tanah air sendiri. Tahniah, Tahniah, Tahniah.

Comments are closed.