TEHRAN – Iran menegaskan ia mempunyai “hak undang-undang” untuk bertindak balas terhadap pembunuhan Ketua Hamas, Ismail Haniyeh minggu lalu.
“Tiada sesiapa yang berhak untuk meragui hak undang-undang Iran untuk menghukum rejim Zionis”, kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani pada sidang media.
Beliau merujuk kepada Israel yang dipertanggungjawab atas serangan ke atas Haniyeh.
Kanani menegaskan bahawa Iran “tidak berusaha untuk memburukkan lagi ketegangan di rantau itu”, yang telah meningkat sejak perang Israel-Hamas meletus pada awal Oktober lalu dan kian memuncak sejak serangan Rabu lalu.
Pengawal Revolusi Iran berkata, Israel membunuh Haniyeh menggunakan “peluru jarak dekat” yang dilancarkan dari luar kediamannya di sini selepas beliau menghadiri upacara angat sumpah pelantikan Presiden Masoud Pezeshkian.
Iran dan Hamas serta kumpulan bersenjata lain yang bersekutu dengan Tehran di Timur Tengah telah berikrar untuk bertindak balas.
Israel juga tidak secara langsung mengulas mengenai pembunuhan itu, yang berlaku hanya beberapa jam pembunuhan ketua tentera kumpulan Hezbollah, Fuad Shukr dalam serangan Israel di Beirut.
Hezbollah yang disokong Iran dan tentera Israel melancarkan serangan hampir setiap hari sejak awal Oktober.
Kanani berkata: “Kami percaya penyatuan kestabilan dan keselamatan di rantau ini akan dicapai dengan menghukum penceroboh dan mewujudkan penghalang terhadap tingkah laku pengembaraan dan keganasan luar wilayah rejim Zionis”.
Iran, yang tidak mengiktiraf Israel, telah mengadakan perbincangan dengan beberapa negara Arab termasuk Jordan, Mesir, Oman dan Qatar sejak pembunuhan Haniyeh.
Teheran telah berulang kali menegaskan “hak semula jadi” untuk mengambil tindakan terhadap musuh Israel.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, negaranya berada pada “tahap yang sangat tinggi” kesiapsiagaan untuk sebarang senario, “bertahan dan menyerang”. – Agensi