PETALING JAYA – Jenazah penyanyi legenda negara Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus selamat dikebumikan pada 11.15 pagi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Jalan PJS5/1, hari ini.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Al-Husna Bandar Sunway untuk dimandikan dan dikafankan, diikuti solat jenazah oleh kira-kira 200 orang yang diimamkan pengurus masjid Ustaz Wan Muhammad Izzat Kamal.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 10.50 pagi untuk pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, saudara, kenalan dan rakan-rakan artis termasuk Datuk Hattan, Aris Ariwatan, Zamani, Datuk S Atan, Rozita Rohaizad dan M. Nasir.
“Dia (Allahyarham) pergi dengan tenang selepas apa yang dilalui. Alhamdulillah, arwah meninggal di Hospital Thompson Kota Damansara, anak-anak semua ada menemani semasa pemergian arwah.
“Anak-anak semua sedih dengan pemergian ini, tetapi kami terima dan reda dengan pemergian arwah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Penyanyi popular Datuk Hattan pula berkata Allahyarham banyak menyumbang dalam mengembangkan industri muzik negara dan pemergiannya ialah kehilangan besar buat industri seni tanah air.
“Arwah memang ‘legend’, sejak tahun 1978 bila pertama kali dengar lagu Carefree, memang kita (terus) sama-sama minat lagu-lagu Carefree. Sewaktu ‘Talent Time’ di sekolah dulu pun banyak lagu saya nyanyikan adalah lagu Carefree. Dia (Allahyarham) seorang ‘legend’ yang baik.
Pada 23 Mei lepas, Jay Jay selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dua hari dimasukkan ke pusat perubatan itu akibat serangan jantung ringan dan sesak nafas.
Popular dengan lagu antaranya Rindu Bayangan, pemuzik itu pernah memenangi beberapa anugerah seperti Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) 1988, Vokal Terbaik Lelaki Anugerah Industri Muzik1998 dan Juara Kategori Pop Rock pada Juara Lagu 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.
Beliau memulakan karier sebagai penyanyi dan pemain bass bersama kumpulan Carefree pada 1979 sebelum muncul solo sejak 1984. – BERNAMA