KUANTAN – Tindakan seorang lelaki menyorokkan lebih 100 kilogram dadah jenis ganja di dalam but keretanya berjaya dihidu polis yang membuat rondaan cegah jenayah di Kilometer (KM) 267 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 pada 1 Ogos lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pada mulanya lelaki berusia 48 tahun itu ditahan petugas Peronda Lebuhraya LPT 2 EMPV (Jabor-Gemuruh) Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di tepi jalan bagi rutin pemeriksaan.
“Semasa polis ingin membuat pemeriksaan di dalam kereta jenis Honda Accord merah yang di pandu oleh suspek, suspek telah bertindak memecut kenderaan dan telah berlaku kejar mengejar selama 45 minit kira-kira 60 kilometer menghala ke Plaza Tol Jabor,” katanya pada sidang media, hari ini.
Bagaimanapun, Yahaya berkata, suspek berjaya ditahan di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular, di Jalan Kuantan-Kemaman selepas keretanya terbabas akibat tayar pecah.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu terdapat 107 paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan mampat dedaun kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja bernilai RM359,600.
“Difahamkan suspek yang tidak bekerja dan berasal daripada Kelantan itu mendapatkan dadah terbabit dari negara jiran untuk diedarkan di pasaran tempatan.
“Dengan tangkapan ini, PDRM telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja untuk diedarkan ke pasaran tempatan di mana jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oseramai 111,663 orang penagih dadah,” katanya.
Dalam pada itu, Yahaya memberitahu, hasil semakan rekod lampau, suspek mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ujian saringan awal polis turut mendapati urin suspek adalah positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 38B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Beliau berkata, siasatan lanjut di bawah ADB (Perlucuthakan Harta) 1988 ke atas harta milik suspek dan sekutu masih diteruskan dan suspek direman selama tujuh hari bermula 2 Ogos sehingga siasatan selesai. – MalaysiaGazette