Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menunaikan wasiat terakhir Ismail Haniyeh yang meminta supaya terus memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin dan membebaskan negara itu daripada penjajahan Israel.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, amanah itu perlu dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disokong oleh rakyat Malaysia.

“Itulah sebabnya pesanan akhir Ismail Haniyeh kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul adalah merupakan wasiat beliau.

“Datuk Seri Anwar terjemahkan wasiat itu dan insya-Allah seluruh rakyat Malaysia akan mendukung kebangkitan dan sokongan kepada Palestin,” kata Ahmad Zahid dalam ucapan Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata malam ini.

Sebelum itu dalam ucapannya, Johari berkata dalam pertemuan dengan Ismail ketika upacara mengangkat sumpah Presiden baharu Iran di Tehran, Ismail memberikan amanat supaya Anwar terus memimpin pembebasan Palestin.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, dalam pertemuan dengan Ismail beberapa kali di Malaysia, pemimpin Hamas itu menyatakan Palestin memerlukan sokongan bukan sahaja berbentuk moral tetapi kewangan.

“Kalau Speaker Dewan Rakyat bertemu dengan beliau (Ismail), Datuk Seri Anwar juga bertemu berkali-kali dengan beliau.

“Ismail Haniyeh berkali-kali datang ke Malaysia dan saya sempat bertemu beberapa kali. Beliau berpesan dengan beberapa rakan yang lain, mengharapkan rakyat Malaysia untuk terus memberikan bukan sahaja sokongan moral tetapi sokang material agar Pelestin khususnya Gaza dapat dibangunkan semula,” kata Ahmad Zahid.

Selain Anwar turut hadir Johari, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Kira-kira 10,000 orang hadir dalam perhimpunan itu yang diadakan di Axiata Arena di Bukit Jalil.-MalaysiaGazette