KUALA LUMPUR- Seorang wanita warga emas ditemui maut dalam keadaan hampir rentung di atas katil dalam kebakaran di sebuah apartmen di Taman Paramount, Petaling Jaya dekat sini, petang tadi.
Bilik Gerakan operasi negeri Bomba dan Penyelamat Selagor menerima laporan mengenai kebakaran itu sekitar jam lebih kurang 5.42 petang tadi.
Ketua Zon 2 Petaling, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Syariman Wan Saleh berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Sejurus tiba di lokasi pemerksaan lanjut mendapati kebakaran itu hanya berlaku di sebuah bilik berkeluasan 10 x 50 kaki persegi di kediaman di tingkat satu apartmen lima tingkat itu.
“Kebakaran hanya berlaku pada katil dan tilam di dalam bilik berkenaan, tidak membabitkan struktur bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan di dalam bilik terbakar itu menemukan mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar kira-kira 60 peratus di atas katil berkenaan.
Semakan lanjut mendapati mangsa sebagai seorang wanita warga emas berusia 62 tahun.
“Semasa kejadian kebakaran itu, mangsa dipercayai bersendirian di dalam rumah itu.
“Mayat mangsa masih berada di lokasi kerana pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung punca kematian.
“Pasukan forensik bomba bersama unit anjing K9 bomba juga sedang berada di lokasi untuk meneruskan siasatan punca kebakaran,” ujarnya.- MalaysiaGazette