Indeks Nikkei menjunam lebih 3,000 mata hari ini. Foto AFP

TOKYO- Indeks Nikkei 225 menjunam lebih 3,000 mata pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan di Amerika Syarikat (AS), dengan dolar jatuh ke paras terendah baharu dalam tujuh bulan di zon atas 142 yen.

Menurut agensi berita Kyodo, “pemutus litar” saham telah diaktifkan untuk pasaran niaga hadapan Nikkei dan Topix susulan kejatuhan mendadak itu, menyebabkan perdagangan dihentikan sementara.

Pada 2 petang, Purata Saham Nikkei terbitan 225  jatuh 3,219.49 mata, atau 8.97 peratus dari Jumaat kepada 32,690.21. Indeks Topix yang lebih meluas turun 244.83 mata, atau 9.65 peratus kepada 2,292.77.

Jualan besar-besaran melanda saham sejak awal selepas angka pekerjaan AS yang lebih lemah daripada jangkaan untuk Julai menambah kepada data ekonomi yang mengecewakan baru-baru ini, menimbulkan kebimbangan mengenai kemelesetan dalam ekonomi terbesar dunia itu.

Kelembapan pertumbuhan telah menimbulkan spekulasi bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kadar faedah dengan ketara pada September, yang akan mengecilkan jurang kadar faedah antara Amerika Syarikat dan Jepun.

Nilai yen juga telah meningkat sejak Bank of Japan menaikkan kadar faedah minggu lepas, dengan spekulasi yang semakin meningkat mengenai satu lagi kenaikan lain dalam tahun ini.

— BERNAMA-KYODO