Antara jemaah yang akan mengerjakan umrah dari agensi Fa Izin Travel & Tours selamat tiba ke hotel di Mekkah selepas pesawatnya MH156 ke Jeddah berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ekoran masalah teknikal yang dihadapi pesawat terbabit sebaik hampir 2 jam berlepas di ruangan udara semalam ketika di Mekkah Al-Mukarramah, Arab Saudi. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2024.

MAKKAH – Tiada apa yang mampu diungkapkan, hanya rasa syukur kerana akhirnya dapat juga tiba di bumi Makkah Al-Mukaramah selepas pesawat MH156 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah terpaksa berpatah balik semalam kerana mengalami masalah teknikal.

Bagi Omar Abd Aziz, 21, yang berkongsi detik-detik ketika berada di dalam pesawat itu berkata, pesawat berkenaan hanya berlegar-legar walaupun sudah hampir dua jam berlepas.

 

Omar Abd Aziz

“Saya tengok paparan penerbangan, pesawat ini pusing-pusing di kawasan Langkawi dan mula rasa tak ok.

“Saya dengar ada makcik yang menangis. Saya hanya mampu berzikir dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya lagi, selepas dua jam, barulah juruterbang memaklumkan akan berpatah balik.

“Masa pendaratan kecemasan tu, memang lain sangat. Tiba-tiba brek dan bukan berhenti di terminal macam biasa.

“Saya nampak ada jurutera datang dan selepas itu kami dimaklumkan situasi sebenar iaitu ada masalah teknikal.

“Kami semua diberikan penginapan di sebuah hotel di Shah Alam dan bertolak semula ke airport pada jam 3.30 pagi kerana penerbangan kami adalah pada jam 9 pagi.

“Alhamdulillah, semuanya ok termasuk wajah krew yang bertugas, tidak seperti sebelum ini yang macam nak sorok sesuatu,” katanya lagi.

Seorang penumpang dari Negeri Sembilan, Roszalina Mohammad Ali, 56, turut berkongsi pengalaman di mana mengakui ada terbau seperti minyak.

Roszalina Mohammad Ali

“Terdetik juga dalam hati, bau apa macam ni, tayar ke sebab pesawat tu asyik bergegar-gegar, tapi saya tak adalah takut, tawakkal saja.

“Bila juruterbang cakap nak patah balik, terkejut juga.

“Saya hanya mampu bercakap dalam hati, mungkin belum tiba masanya saya nak ke Tanah Suci lagi,” katanya.

Jelasnya lagi, hanya Tuhan yang mengetahui apa yang terpendam di lubuk hatinya.

“Walau apa pun, saya serahkan kepada Allaj SWT. Bila sampai sahaja di lapangan terbang Jeddah, saya rasa lega dan syukur.

“Saya terus berpelukan dengan adik perempuan saya, semuanya kehendak Allah SWT dan kami redha,” katanya.

Pengalaman sama dikongsikan Mohd Idros Ali Yasin, 58 yang turut merasa cemas.

Mohd Idros Ali Yasin

“Masa take off tu terlalu lama. Saya ada pengalaman sebelum ini untuk umrah dan haji, jadi situasi semalam tu memang lain dari kebiasaan.

“Tapi saya tahu, itu adalah takdir Allah SWT, kita kena reda dengan apa yang berlaku.

“Saya bersyukur, tapi layanan pihak MAS sangat baik, saya sangat puji.

“Sampaikan bagi kami kupon makan sebelum kami berlepas pagi tadi,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fa Izin Travel & Tours, Muhammad Firdaus Ibrahim turut melahirkan rasa syukur apabila kesemua 29 jemaah yang berdaftar di bawahnya selamat tiba di sini.

Pengarah Urusan Fa Izin Travel & Tours, Muhammad Firdaus Ibrahim bercakap kepada media jemaah yang selamat tiba ke Mekah selepas pesawat yang dinaiki MH156 ke Jeddah berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ekoran masalah teknikal yang dihadapi pesawat terbabit sebaik hampir 2 jam berlepas di ruangan udara semalam ketika di Mekkah Al-Mukarramah, Arab Saudi. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2024.

“Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan tenang dan baik.

“Terima kasih juga kepada pihak penerbangan yang memberi penginapan yang sedikit sebanyak membantu jemaah-jemaah ini supaya tidak kelam kabut dalam menghadapi situasi seperti ini,” katanya.

Jelasnya lagi, walaupun ini bukan kali pertama situasi begini berlaku, namun perkara yang melibatkan teknikal seperti ini sukar dijangka.

Pesawat MH156 yang berlepas dari KLIA jam 9 pagi waktu Malaysia tiba pada jam 4 petang waktu Arab Saudi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast